SELAMAT DATANG KE LAMAN ILMU ZUNIDA ZULKUFLI

Saturday 29 September 2012

Thursday 13 September 2012

REFLEKSI KERJA KURSUS KESELURUHAN



Assalamualaikum wbt, salam sejahtera, dan salam 1 Malaysia kepada semua pelayar laman web sekalian.

Syukur alhamdulillah, berkat doa dan izin-Nya maka dapatlah saya siapkan kerja kursus untuk Subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3105). Di ruang ini juga, tidak saya lupakan pensyarah yang membimbing, memberi tunjuk ajar dan sentiasa bersabar dengan tingkah laku anak didik beliau yang penuh dengan kepelbagaian karenah masing-masing.

Sepanjang saya melaksanakan dan membina laman web ini, banyak pengalaman dan ilmu serta kemahiran baru yang dapat saya peroleh dan timba. Saya sedar bahawa sebagai seorang bakal pendidik, pengalaman dan ilmu haruslah ditimba dan dicari sebanyak mungkin sebagai persediaan dan bekalan untuk dibawa ke alam pekerjaan yang sebenar nanti. Oleh itu, melalui kursus ini secara tidak langsung saya dapat mengumpul dan menyimpan sebanyak bahan yang boleh sebagai simpanan dan bekalan saya nanti untuk dijadikan sebagai bahan bantu pengajaran. Di samping itu, saya sedar bahawa sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang pelbagai, menarik serta menyeronokkan murid. Melalui kursus ini, secara langsung saya dapat belajar bagaimana untuk membina bahan yang menarik untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya menghasilkan video yang menarik sesuai dengan tajuk dan tema yang hendak di ajar oleh guru tersebut. Oleh itu, peluang dan ruang sepanjang kursus ini dilaksanakan akan saya manfaatkan sebanyak yang mungkin. melalui kursus ini saya dapat belajar bagaimana membina laman sesawang pengajaran dan pembelajaran untuk murid khususnya untuk subjek Bahasa Melayu. Di samping dapat memuat naik dan turun bahan yang disalurkan. Kesannya, pengajaran dan pembelajaran itu akan menjadi lebih mudah di samping dapat mempertingkatkan kemahiran murid dalam menggunakan Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


Selain itu, kursus ini juga dapat meningkatkan kemahiran yang dapat membantu serta mempermudahkan proses penyampaian pengajaran di dalam kelas kelak. Akhir kata, segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki  dapat terus dikembangkan dan digunakan semaksimum yang mungkin serta diaplikasikan di sekolah nanti. InsyaAllah, sekian.







Tuesday 11 September 2012

Kemahiran Bernilai Tambah


7.      KEMAHIRAN BERNILAI TAMBAH

7.1    Pengenalan 
Kemahiran Bernilai Tambah (KBT) ialah kemahiran yang dapat digunakan dalam setiap sesi pengajaran. Kemahiran ini dapat membantu guru mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan melaksanakan aktiviti pengajaran secara berkesan. Ia juga sebagai persediaan murid menghadapi senario dunia global yang sebenar. Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah terdapat tujuh cadangan kemahiran bernilai tambah untuk guru melaksanakan dalam bilik darjah. Setiap kemahiran bernilai tambah itu boleh dilaksanakan secara solo mahupun secara bergabungan.7.2    Jenis-Jenis Kemahiran Bernilai Tambah
(a) Kemahiran Berfikir
Pusat Perkembangan Kurikulum (2002) yang merumuskan pendapat Mayer (1977 dan 1991) dan Fraenkel (1980) merumuskan Kemahiran Berfikir sebagai proses menggunakan minda sama ada untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, membuat pertimbangan dan keputusan atau menyelesaikan masalah. Proses asas berfikir ialah apabila anda mengemukakan pertanyaan. Hal ini kerana untuk mengemukakan pertanyaan anda perlu memikirkan aspek yang ingin ditanya. Proses berfikir itu akan melibatkan satu set pertanyaan yang dimulai pertanyaan rasa ingin tahu, seperti;

a) Apakah objek itu?
b) Bagaimanakah bentuk objek itu?
c) Apakah kegunaan objek itu?
d) Bagaimanakah menggunakan objek itu?
e) Di manakah dapat memperoleh objek itu?

Apabila ada pertanyaan maka diperlukan jawapan. Untuk menjawab pertanyaan itu, anda akan menggerakkan minda secara lebih aktif. Ia akan melibatkan proses mencari dan menilai kerana tidak semua maklumat yang diperoleh itu sesuai untuk dijadikan jawapan. Dalam proses mencari dan menilai jawapan akan melibatkan beberapa kemahiran seperti berfikiran kreatif, berfikiran kritis, menaakul dan strategi berfikir. Ia dinamakan jenis-jenis kemahiran berfikir.

Maklumat yang berikut ialah contoh aktiviti yang boleh dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran.

(a) Kemahiran Berfikir Kreatif ialah kemahiran mencerna dan menghasilkan idea baharu yang mementingkan keindahan. Lazimnya ia melibatkan penghasilan bentuk baharu, pengolahan bahasa yang indah, teknik penyampaian yang menarik, dan sudut pandangan yang tidak berlandaskan kebiasaan. Menurut Pusat Perkembangan kurikulum (2002) dalam Kemahiran Berfikir Kreatif akan melibatkan beberapa aktiviti pemikiran seperti;

i. menjana idea – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mengemukakan idea, mencadangkan alternatif, mencadangkan sebab, menyenaraikan idea, menyatakan cara lain, menyumbangkan pendapat atau pandangan, menyatakan kemungkinan, menghasilkan atau mencetus idea baharu, dan sebagainya.
ii. Membuat inferens – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membuat kesimpulan awal atau hipotesis berdasarkan pemerhatian, membuat rumusan awal berdasarkan data-data yang diperoleh, membuat kesimpulan awal daripada maklumat yang diperoleh, membuat tanggapan awal, membuat penyataan awal, menyatakan pendidirian awal, menyatakan ketetapan awal dan sebagainya.
iii. Menghubung kait – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menerangkan sebab dan akibat, menyatakan perkaitan, menyatakan sebab-musabab, menyatakan implikasi, mengkaji perkaitan, mencari perkaitan, mengaitkan idea, menyatakan pertalian, membuat perhubungan dan sebagainya.
iv. Meramal – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyatakan apa yang akan berlaku, membuat jangkaan, mengganggarkan apa yang akan berlaku, membuat perlunjuran, menyatakan kemungkinan yang akan berlaku, dan sebagainya.
v. Membuat hipotesis – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyatakan cadangan yang perlu diuji kesahihannya, membuat andaian yang perlu dibuktikan kebenarannya, membuat penyataan yang perlu diuji ketepatannya, menyatakan kesimpulan sementara yang perlu diuji dan sebagainya.
vi. Mensintesis – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menggabungkan idea, menggubalkan semula, menyatukan idea-idea, menyepadukan idea-idea, dan sebagainya.
vii. Mengitlak – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membuat penyataan umum berdasarkan pola, membuat generalisasi, membuat rumusan umum daripada keseluruhan idea, dan sebagainya.
viii. Menganalogi – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah memetaforakan, membuat sindiran, membuat kiasan, membuat perlambangan, membuat simulasi, membandingkan sesuatu yang ada ciri-ciri persamaan, dan sebagainya.
ix. Membuat gambaran mental – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mengimaginasikan, menggambarkan dalam bentuk lain, membayangkan dalam minda, melakarkan peta minda, menceritakan gambaran mental, dan sebagainya.
x. Reka cipta – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah cadangan idea, asli, menghasilkan guahan asli, membuat rekaan bentuk, menciptakan sesuatu, membuat pengubahsuaian, menghasilkan idea kreatif, dan sebagainya.

(b) Kemahiran Berfikir Kritis ialah membuat analisis, membuat penilaian, membuat sintesis, membuat kritikan dan menilai kemunasabahan sesuatu idea. Dalam proses membuat penilaian itu akan melibatkan penyesuaian dengan beberapa aspek atau elemen. Mengkritik karya kesusasteraan akan melibat penggunaan teori kajian sastera sebagai kayu pengukurnya. Menilai tingkah-laku manusia akan melibatkan aspek sosio-budaya bangsa berkenaan sebagai kayu pengukurannya. Menurut Pusat Perkembangan kurikulum (2002a) dalam Kemahiran Berfikir Kritis akan melibatkan beberapa aktiviti pemikiran seperti;

i. Mencirikan – antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyatakan atau menyenaraikan ciri-ciri, sifat dan unsur sesuatu, mengenal pasti dan menyatakan kualiti sesuatu, dan sebagainya.
ii. Membandingbezakan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencari persamaan dan perbezaan ciri, bentuk, sifat, warna, fungsi, dan sebagainya.
iii. Mengumpul dan mengkelaskan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membuat pengkelasan berasakan ciri, kategori, fungsi, bentuk, warna, kriteria, dan sebagainya.
iv. Membuat urutan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyusun mengikut urutan, kepentingan, nilai, abjad, nombor, kriteria tertentu, dan sebagainya.
v. Menganalisis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencerakin maklumat, mengolah idea, mengesan sebab, menghuraikan faktor, ciri-ciri, akibat, mencari punca atau bukti berasaskan maklumat atau data, dan sebagainya.
vi. Menilai -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mentaksir maklumat, mempertimbangkan pendapat atau cadangan, membuat pilihan, menentukan nilai atau kepentingan, mencari sebab dan kesan, dan sebagainya.
vii. Membuat kesimpulan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah merumuskan maklumat atau data, membuat hipotesis atau tesis, kesimpulan dan sebagainya.

(c) Kemahiran Berfikir Menaakul ialah kemahiran membuat pertimbangan secara logik dan rasional terhadap beberapa contoh sebelum membuat kesimpulan. Terdapat penaakulan secara induktif (berasaskan beberapa contoh kemudian membuat kesimpulan) dan penaakulan deduktif (mengemukakan rumusan dan kemudian memberi beberapa contoh untuk membuktikan kebenaran rumusan tersebut). Aktiviti menaakul melibatkan;

i. Hipotesis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencari maklumat untuk membuktikan hipotesis seperti memberi contoh-contoh sesuai.
ii. Pengumpulan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mengumpulkan maklumat atau data yang sama ciri, sifat atau kriteria untuk membuat kesimpulan atau rumusan.

(d) Strategi Berfikir atau sering juga disebut Kemahiran Berfikir Kreatif dan kritis. Gabungan pemikiran itu bertujuan untuk membuat konsepsi, keputusan dan menyelesaikan masalah. Petunjuk strategi berfikir ialah;

i. Mengkonsepsikan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kenal pasti ciri-ciri, fungsi, rupa, persamaan untuk membuat rumusan dan membina konsep.
ii. Menyelesaikan masalah -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kenal pasti masalah, punca masalah, kesan masalah, sasaran masalah dan sebagainya untuk diselesaikan.
iii. Membuat keputusan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kenal pasti matlamat, sasaran, kepentingan, alternatif, punca dan kesan dan sebagainya untuk buat penentuan.

(b) Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bermaksud kebolehan, keupayaan menggunakan alat-alat ICT dalam pengajaran dan pembelajaran secara berfikrah, terancang, kesesuaian, dan berkesan. Semuanya bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengajaran dan keberkesanan pembelajaran. Dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2003) penggunaan ICT untuk tujuan komunikasi seprti menghantar dan menerima emel, menggunakan aplikasi perisian untuk menyempurnakan tugasan dan mengakses maklumat. Kemahiran ICT perlu diaplikasikan supaya murid dapat menggunakannya untuk tujuan mendapatkan maklumat, memproses maklumat, dan menghantar maklumat. Kemahiran ICT bukan sahaja kemampuan aplikasi komputer atau internet, malahan juga radio kaset, televisyen dan sebagainya yang bersifat teknologi. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001a) penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat diaplikasikan dari aspek pengajaran (guru menggunakan ICT), dan aspek pembelajaran (murid menggunakan ICT). Dalam konteks pengajaran, ICT digunakan sebagai;

i. Persembahan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menayangkan power points, petikan, gambar, gambar rajah, gambar visual dan sebagainya.
ii. Demonstrasi -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah gambar visual berkenaan tunjuk cara, rajah contoh pelaksanaan, dan sebagainya.

Dalam konteks pembelajaran, pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dalam beberapa kategori seperti;

i. Tutorial -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencari maklumat dalam internet, menyelesaikan atau melengkapkan tugasan, menghantar maklumat menggunakan email, menonton demostrasi contoh tugasan, dan sebagainya.
ii. Penerokaan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, internet, portal; mengalami, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi, melihat demonstrasi sesuatu untuk dilaporkan.
 
iii. Pengaplikasian -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menulis dan mengedit karangan dalam perisian, mencari dan melengkapkan maklumat yang diusahakan, mengaplikasi graf, carta dan sebagainya untuk tujuan melengkapkan maklumat, menyisih dan mengkelas data-data yang diperoleh dengan menggunakan perisian-perisian yang sesuai seperti SPSS, dan sebagainya.
iv. Komunikasi -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menghantar, menerima dan berkongsi maklumat sama ada antara individu mahupun dengan ramai individu. Antara mod atau bahan yang memboleh

(c) Kemahiran Belajar Cara Belajar
Pusat Perkembangan kurikulum (2001b) menegaskan Belajar Cara Belajar (BCB) sebagai satu proses teknik belajar sama ada belajar bersama guru mahupun belajar tanpa bersama guru. Pendapat Sherina yang dipetik oleh Abdul Hamid Mahmood (2007) pula berpendapat BCB merupakan kaedah belajar atau menelaah pelajaran yang boleh berlaku dalam kelas bersama guru ataupun secara berseorangan membaca buku di perpustakaan. Bagi Abdul Hamid Mahmood sendiri BCB merupakan usaha mengembangkan tabiat belajar. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (2003) menegaskan tujuan pelaksanaan BCB agar murid peka terhadap teknik-teknik pembelajaran yang berkesan bagi membolehkan murid meningkat pengetahuan, cekap bertindak dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, dan sebagai amalan pembelajaran sepanjang hayat. Dengan terbentuk sikap peka diharapkan sistem pendidikan akan menghasilkan pelajar yang aktif, bersikap ingin tahu, rajin berusaha mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber dan matang merumuskan maklumat. Antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membuat sumbang saran, aktif menyoal, mengenal pasti idea dan menyusun idea, mencari sumber maklumat, memilih dan menilai maklumat, membuat pemerhatian, mendengar secara aktif, mencatat nota atau maklumat atau data, membuat inferensi atau generalisasi, menyusun data, membuat rujukan silang, berkongsi maklumat, menepati masa.

Menurut Abdul Hamid Mahmood dan Nik Hassan Hj. Nik Basri (2007), BCB melibatkan aspek;

i. Kemahiran pengurusan kendiri -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyediakan peralatan belajar, pengurusan masa, pilihan kerjaya masa depan, menepati masa, mengurus tekanan belajar dan menggalakkan perbincangan.
ii. Kemahiran mendengar, participating dan mengambil nota -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menghayati, memahami dan menilai maklumat didengari, mencatat maklumat didengari, rajin bertanya, memberi pendapat atau pandangan, bersikap ingin tahu dan mencuba, berkongsi maklumat dan sebagainya.
iii. Kemahiran membaca -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membaca secara luncuran (skimming) seperti membaca tajuk, subtajuk, pendahuluan, ringkasan atau rumusan; membaca secara imbasan (scanning) seperti membaca pantas pendahuluan atau rumusan; bacaan intensif secara terperinci dan tekun; dan bacaan laju dengan cara menambahkan bahan bacaan.
iv. Kemahiran menulis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menulis atau mencatat cepat, membuat ringkasan, membuat peta minda, mencatat isi penting dan sebagainya.
v. Kemahiran mengingat -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyenaraikan kembali fakta atau isi, menceritakan kembali maklumat yang dibaca, dan sebagainya.

(d) Kemahiran Kajian Masa Depan
Pusat Perkembangan Kurikulum (2002b) Kemahiran Kajian Masa Depan (KMD) ialah satu cara menyusun pemikiran atau cara kita mengkonsepsikan kehidupan. KMD diperkenalkan agar generasi baharu bersedia menghadapi cabaran dan perubahan. Hal ini disebabkan masa depan setiap manusia pasti berubah, penuh dengan cabaran, dan dugaan yang tidak sama dengan masa sekarang. Dengan adanya kesedaran KMD diharapkan dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang berwawasan, rasional, kreatif, dinamik dan matang. Betapapun kita tidak tahun kejadian masa depan, namun masa depan dapat diramalkan. Misalnya, seseorang yang terlibat sebagai pengedar najis dadah pasti akan ditangkap dan dihukum pada suatu masa nanti. Antara aspek pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah ialah;

i. Membuat ramalan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menganalisis maklumat atau data dan kemudian membuat ramalan, membayangkan berlaku sesuatu (imaginasi), membuat persediaan untuk menghadapi hasil ramalan, dan sebagainya.
ii. Menjangka akibat -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menganalisis sebab dan menjangka akibatnya, menganalisis kejadian dan menjangka akibatnya, mengatur strategi mengatasi kebimbangan, membuat persediaan menghadapi sesuatu yang bakal berlaku, dan sebagainya.
iii. Mengendalikan perubahan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membincangkan cara-cara mengatasi sesuatu daripada berlaku, membuat persediaan untuk menghadapi sesuatu, menyesuaikan kebiasaan diri, dan sebagainya.
(e) Kemahiran Kecerdasan Pelbagai
Kemahiran Kecerdasan Pelbagai (KKP) merujuk kebolehan murid menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar. Dengan adanya kepelbagaian kemahiran murid mampu menjana idea untuk memajukan lapangan diceburi. KKP mampu melahirkan murid aktif kerana dengan adanya kepelbagaian kemahiran menyebabkan murid berani menawarkan khidmat bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya. Pusat perkembangan Kurikulum (2001c) mencadangkan lapan jenis kecerdasan pelbagai yang sesui diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran murid, iaitu;

i. Kecerdasan Verbal-Linguistik -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah melafazkan kata-kata secara santun, melafazkan kata-kata dengan nada dan intonasi yang betul, memilih dan menggunakan perkataan yang tepat menggambarkan idea dalam setiap penulisan, kebolehan menggunakan ungkapan dan bahasa badan yang sesuai berdasarkan situasi, persekitaran, status sosial dan isu yang diperkatakan, dan sebagainya.
ii. Kecerdasan Logik-Matematik -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan menggunakan nombor secara berkesan dan bijak berhujah, memahami fungsi nombor, simbol atau tanda dan kegunaannya, kebolehan menjangka, dan sebagainya.
iii. Kecerdasan Visual-Ruang -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan mengesan dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan garisan, termasuk kemampuan membuat persembahan idea, grafik, hasil seni secara berkesan dalam ruang ditetapkan.
iv. Kecerdasan Kinestetik -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan menggunakan badan, anggota badan dan ekspresi badan untuk menyatakan idea, kepelbagaian perasaan, fikiran, menyelesaikan masalah, menyampaaikan hasrat dan sebagainya.
v. Kecerdasan Muzik -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan mengesan irama, rentak, tempo, dan melodi lagu. Juga termasuk mengenali rentak pengerakan yang sesuai dengan melodi atau irama.
vi. Kecerdasan Interpersonal -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan memahami perasaan, motivasi, tabiat serta hasrat orang lain, serta kebolehan menarik minat orang lain untuk turut sama melakukan sesuatu yang dianjurkan. Misalnya, menarik minat murid menjawab soalan atau melakonkan tugasan yang diberikan.
vii. Kecerdasan Intrapersonal -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan memahami diri sendiri dari segi kelemahan, kekuatan, hasrat dan kehendak. Dengan memahami diri sendiri akan memboleh individu berkenaan menangani kelemahan, menjanakan kekuatan, mengawal kemarahan atau kekecewaan, dan memilih aspek yang mampu dilaksanakan.
viii. Kecerdasan Naturalis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah kebolehan dari aspek umum seperti mengenali dan memahami alam persekitaran dan makhluknya, sosio-budaya masyarakat kaum sendiri dan orang lain dan mengamalkannya, dan sebagainya.

(f) Kemahiran Pembelajaran Kontekstual
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001d) Pembelajaran Kontekstual (PK) merupakan satu kaedah pembelajaran yang menggabungkan atau menghubungkaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan persekitaran, dan alam pekerjaan. PK menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on (mengamalkan) dan minds-on (memikirkan) dalam persekitaran pelbagai. Pembelajaran berlaku apabila murid dapat memproses maklumat dengan cara menggabungkan atau menghubungkaitkan pengalaman sedia ada dengan pengetahuan baharu secara bermakna. Ia berlaku dalam minda dan kemudian diterjemahkan secara nyata sama melalui kata-kata, perlakuan atau hasilan. Pengalaman sedia ada murid itu melibatkan peraturan bahasa, adat budaya, persekitaran sosial, psikologi, alam fizikal, amalan kehidupan, sekolah, tempat kerja atau tempat tinggal, pelbagai bidang ilmu, dan sebagainya. Guru boleh melaksanakan Kemahiran Pembelajaran Kontekstual dalam bilik darjah dalam pelbagai bentuk pembelajaran seperti;

i. Menghubung kait -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menyambungkan cerita, mencipta objek atau mengemukakan idea alternatif, mengubah suai sesuatu atau cara agar sesuai dengan keperluan semasa, dan sebagainya.
ii. Mengalami -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah melakukan penerokaan idea, penemuan idea baharu berdasarkan maklumat atau idea sedia ada, reka cipta seperti mencipta ‘kereta luncur’ yang menggabungkan ciri-ciri kenderaan darat dengan kenderaan air dan kenderaan udara, dan sebagainya.
iii. Mengaplikasi -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah mencipta objek pelbagai guna, menulis karangan yang mempunyai pelbagai teknik atau laras bahasa, dan sebagainya.
iv. Bekerjasama -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah memberi reaksi terhadap permasalahan dalam pembelajaran, aktif menjana pembelajaran bersama, berkongsi idea atau maklumat, dan sebagainya.
v. Memindahkan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah menganalisis maklumat sedia ada dan kemudian memberi cadangan untuk menyelesaikan masalah, menggunakan ilmu-ilmu dari bidang lain seperti menggunakan objek bersudut (Matematik) untuk melukis mural (Seni Visual), mengarang cerita Sains, memilih corak dan warna yang sesuai untuk pakaian harian, dan sebagainya.

(g) Kemahiran Pembelajaran Konstruktivisme
Menurut McBrien & Brandt, dan M. Briner yang dipetik oleh Pusat Perkembangan kurikulum (2001e) Konstruktivisme ialah satu pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan dengan membina pengetahuan baharu atau konsep baharu secara aktif. Murid membina sesuatu atau pengetahuan mereka dengan menguji idea baharu dan idea sedia ada. Mereka boleh mencipta satu makna baharu atau objek baharu. Tentunya untuk membina sesuatu yang baharu akan memerlukan sesuatu yang sedia ada. Jepun mencipta kereta Toyota adalah berdasarkan kereta Ford yang dicipta oleh Britain. Yang menjadi inti fokus dalam konstruktivisme ialah ‘membina sesuatu yang baharu’ sama ada yang dibina itu objek, konsep, penulisan dan sebagainya. Muhd. Nasrudin Dasuki mencipta Mapen dengan menggabungkan bentuk drama dengan cerpen. Murid boleh membina sesuatu berdasarkan pengetahuan atau pengalaman sedia ada mahupun idea baharu. Hal ini berbeza dengan PK yang menekankan ‘penggabungan idea’ atau ‘hubung kait idea.’ Konstruktivisme dapat membina pemahaman dan pengetahuan baharu. Aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh melaksanakan Pembelajaran Konstruktivisme ialah;

i. Mengkonsepsikan idea -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membina takrif atau definisi sesuatu.
ii. Analisis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membina rumusan maklumat atau data-data, mengkategorikan maklumat atau data berdasarkan kriteria tertentu, dan sebagainya.
iii. Penghasilan -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membina objek-objek seperti kenderaan atau rumah masa depan, dan sebagainya.
iv. Hipotesis atau tesis -- antara contoh aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah membuat kesimpulan karangan atau idea perbincangan, membina hipotesis atau ramalan berdasarkan maklumat diperoleh, membina tesis berdasarkan maklumat dan data yang sahih, dan sebagainya.

Kesimpulan
Berdasarkan penerangan di atas dapat disimpulkan bahawa Kemahiran Bernilai Tambah memberi idea alternatif kepada guru dan murid menjanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih ceria, bermakna dan berkesan. KBT dapat membantu guru mempelbagaikan aktiviti pengajaran dan memberi peluang kepada murid melaksanakan KBT dan seterusnya menjadikan pembelajarannya berkesan. Hal ini sesuai dengan tujuan KBT diperkenalkan, iaitu agar dapat diaplikasikan dalam dunia sebenar murid dan dalam senario dunia yang global.
 


Rujukan

Hassan Basri kadir, Hj. Nik Abdul, et. Al., 2007. Mengajar dan Belajar Bahasa
 
Melayu Kemahiran Bernilai Tambah. Tanjong Malim: Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001a.
 
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.


Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001b.
 
Belajar Cara Belajar. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001c.
 
Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
 

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001d.
 
Pembelajaran Secara Kontekstual. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
 

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001e.
 
Pembelajaran Secara Konstruktivisme. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
 

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2002a.
 
Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
 

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2002b.
Pengajaran Berasaskan Kajian Masa Depan. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2003.
 
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.









Kata Kerja


6.    KATA KERJA
Kata kerja merupakan salah satu golongan kata yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Kata kerja terbahagi kepada dua:
·         Kata kerja transitif
·         Kata kerja tak transitif
KATA KERJA TRANSITIF (KKT)
Kata kerja yang memerlukan objek atau penyambut yang terdiri daripada kata nama untuk melengkapkan maksud ayat.
KKT boleh dikenal pasti dengan imbuhannya iaitu:
(minum, makan) – tiada imbuhan
meN-...                          -           (mencangkul, menebang, memukul)
meN-...-i                        -           (menjalani, menghadiahi, menghadapi)
meN-...-kan                   -           (melarikan, memasukkan, menjalankan)
memper-...                     -           (memperbesar, mempercantik, mempersuami, memperisteri)
memper-...-kan              -           (mempertingkatkan, mempertunjukkan)
memper-...-i                   -           (memperdengari, memperingati)
KKT boleh dipasifkan. Contoh:
Ayat Aktif
Ayat Pasif
Ah Moi sedang membasuh kain di dalam bilik air.
Kain sedang dibasuh oleh Ah Moi di dalam bilik air.
Pekerja-pekerja sedang memperlebar jalan raya.
Jalan raya sedang diperlebar oleh pekerja-pekerja.
Ibu menidurkan adik di dalam kamar.
Adik ditidurkan oleh ibu di dalam kamar.
Kami makan kentang goreng itu.
Kentang goreng itu kami makan.
Tuan Hakim menjatuhi pengedar dadah itu hukuman mati mandatori.
Pengedar dadah itu dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Tuan Hakim.
                       
KATA KERJA TAK TRANSITIF (KKTT)
Kata kerja tak transitif (intransitif) ialah kata kerja yang sudah sempurna maknanya dan dapat berdiri sendiri dalam ayat. Oleh itu, KKTT tidak memerlukan objek atau penyambut untuk menyempurnakan maksudnya. KKTT tidak boleh dipasifkan.
KKTT boleh dikenal pasti melalui imbuhannya, contohnya adalah seperti yang di bawah ini.
·         Tanpa imbuhan (pulang, pergi, duduk, mati, tidur, balik)
·         meN-...              (mengalir, meletup, menangis, membisu)
·         ber-...               (berbicara, bercadang, berbincang, berkereta)
·         ter-...                (terkeluar, terjatuh, terpelosok, tertarik)
·         ber-...-an           (berguguran, bergandingan, berkibaran, bertaburan)
·         ber-...-kan         (berselimutkan, bersuamikan, beristerikan, berbantalkan)

KKTT terbahagi kepada dua iaitu;
            i.          KKTT tanpa pelengkap
            ii.         KKTT berpelengkap
KKTT Tanpa Pelengkap
Kata kerja yang boleh berdiri sendiri tanpa pelengkap.
Contoh:
Gadis itu asyik termenung.
Ayah dan ibu sedang berbicara.
Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban.

KKTT di atas boleh diikuti oleh unsur keterangan yang berfungsi memberikan keterangan lanjut tentang ayat tersebut.
Contoh:
1.  Si Dara itu asyik termenung di dalam kamar.
2.  Hanif dan Nazimah sedang berbicara tentang pilihan raya.
3.  Lori yang sarat dengan muatan batu itu terhumban ke dalam gaung yang dalam.

KKTT Berpelengkap

Kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap (terdiri daripada kata nama, kata adjektif dan kata sendi nama) untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap tidak sama dengan objek atau penyambut kerana objek atau penyambut hadir selepas Kata Kerja Transitif yang boleh mengalami proses pasif. Ayat yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan.
Contoh:
1.  Keadaan banjir sudah beransur surut.
2.  Pasaran saham di Malaysia sudah bertambah baik.
3.  Pengemis itu tidur berbantalkan lengan.
4.  Ying Ying bercita-cita untuk menjadi arkitek.
5.  Cikgu Zakiah tinggal di Kepala Batas.
6.  Hampir lima tahun Mak Limah menetap di kampung ini.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa KKTT dan KKT mempunyai fungsi yang berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat dengan jelas melalui frasa kerja tak transitif dan frasa kerja transitif.


Struktur Frasa Kerja Tak Transitif

Kata bantu
KKTT
Kata Sendi /adjektif
Kata Nama
sedang
bekerja
di
pejabat
ingin
berbincang
tentang
perkara
telah
terlupa
akan
nama rakannya
sudah
bertambah
kukuh
-
sudah
beransur
sembuh
-
telah
bersuamikan
-
orang kaya
telah
berpayungkan
-
daun pisang

Struktur Frasa Kerja Transitif

Kata Bantu
KKT
Objek atau Penyambut
telah
membincangkan
perkara
akan
memperbesar
rumah
sedang
menggilap
kasut
hendak
menunggang
motosikal


Kesalahan-kesalahan Kata Kerja.

1.          Penggunaan KKT tanpa imbuhan.
            Contoh ayat:
            Haji Naseer sedang pandang lukisan itu (X)
            Haji Naseer sedang memandang lukisan itu. (√)

2.         Penggunaan kata sendi nama selepas KKT.
            Contoh ayat:
            Sharifah memahami akan kehendak adiknya. (X)
            Sharifah memahami kehendak adiknya. (√)

3.         Penggunaan Kata Adjektif selepas KKT.
            Contoh ayat:
            Ahmad telah menendang kuat-kuat bola itu. (X)
            Ahmad telah menendang bola itu kuat-kuat. (√)

4.         Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT
            Contoh ayat:
            Cik Min akan berjumpa Cikgu Zue. (X)
            Cik Min akan berjumpa dengan Cikgu Zue. (√)

5.         Penggunaan Kata sendi nama selepas KKTT berimbuhan ber-...-kan
            Contoh ayat:
            Penculik itu bersenjatakan dengan sebilah pisau. (X)
            Penculik itu bersenjatakan sebilah pisau. (√)

6.         Tidak meletakkan kata sendi nama selepas KKTT tanpa imbuhan.
            Contoh ayat:
            Ayah tidak akan pulang rumah tengah hari ini. (X)
            Ayah tidak akan pulang ke rumah tengah hari ini. (√)
               






Panduan Elak Anak Gemuk


5.    PANDUAN ELAK ANAK GEMUK
Isu kegemukan sejak dari dulu lagi sering menjadi topik perbualan. Namun, jika dulu, kegemukan sering diperkatakan berlaku di kalangan dewasa, kini masalah sama dihadapi kanakkanak dan ia bukanlah dianggap berita baik.

Pelbagai faktor dikaitkan dengan kegemukan di kalangan kanak-kanak seperti gaya hidup dan pemakanan tidak terkawal. Namun, lumrah, ramai ibu bapa gembira melihat anak gemuk kerana dianggap comel. Lalu diberi kasih sayang sepenuhnya termasuk keperluan lain seperti makanan dan minuman.

Namun, perlu diingat, gaya hidup seperti itu andai diteruskan hingga dewasa, bakal mengundang masalah seperti mudah mendapat penyakit selain faktor rasa rendah diri akibat kegemukan atau obesiti.

Kegemukan yang dialami 98 peratus datang daripada sikap individu itu sendiri.

Dalam menangani isu kegemukan, faktor yang perlu diambil kira ialah soal keupayaan jantung untuk mengepam darah yang membawa zat atau nutrisi tertentu ke seluruh badan. Secara ringkasnya, semakin gemuk diri anda, semakin banyak bebanan jantung untuk mengepam darah ke bahagian badan yang diselaputi lemak.

Jika sudah dewasa, dikhuatiri anak yang sudah biasa dengan pemakanan dan berat badannya, merasa ingin berubah dan melakukan senaman.

Sehubungan itu, didikan dan rangsangan sejak dari kecil sangat digalakkan. Ibu bapa perlu memberi panduan mengenai kepentingan menjaga pemakanan dan berat badan kepada anak mereka.

Mari kita lihat beberapa panduan untuk mendidik kanak kanak bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat:

* Didik mereka supaya memahami konsep bersenam. Ia adalah untuk sihat seperti mengeluarkan peluh dan ajar anak penting menjaga kesihatan. Berikan ganjaran sebagai galakan jika mereka berjaya melakukan dan mengamalkan gaya hidup sihat

* Jika anak anda banyak menghabiskan masa menonton televisyen atau bermain permainan video dan langsung tidak keluar rumah, lakukan cara yang paling mudah dengan menyuruh mereka membuang sampah atau pergi ke kedai membeli barang. Setidaknya, mereka boleh mengeluarkan peluh.

* Beli basikal untuk anak anda dan setiap petang keluar bersama menjalankan aktiviti berbasikal. Jika tidak, anda boleh menemani mereka berbasikal di taman.

* Benarkan mereka keluar rumah untuk berkawan atau bawa mereka bersama ketika anda ingin berkunjung ke rumah rakan atau saudara. Pengaruh rakan sebaya dapat meningkatkan lagi semangat anak anda.

* Mencari satu komuniti ibu bapa yang mempunyai anak dan tubuhkan satu komuniti di kalangan mereka dalam bersukan atau beriadah. Ibu bapa juga boleh turut serta dalam menjalankan aktiviti bersenam.

* Kurangkan memberi makanan ringan atau jika boleh, jangan ajar anak anda memakan makanan ringan sejak kecil lagi.

* Ajar anak untuk memakan sayur-sayuran dan buah buahan. Kebanyakan ibu bapa terlalu mengikut selera anak apabila mereka tidak menyukai makanan tertentu seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Namun sebagai ibu bapa, perlu kreatif dan mencuba pelbagai cara supaya anak anda dapat menerima makanan begini.

* Senaman perlu dilakukan sekurang kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit dan lakukan bersama anak-anak anda.

Oleh Mohd Hoesni Rahmat

Sambung Baca: 
http://anizyn.blogspot.com/2012/08/panduan-elak-anak-gemuk.html#ixzz25Yabq1pO